
Penyandang juara, Chelsea tersingkir pada saingan suku akhir Piala FA apabila tewas 0-1 kepada kelab Divisyen Dua, Barnsley kelmarin.
Kayode Odejayi menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-66 sekali gus membantu pasukannya mara ke pusingan separuh akhir buat pertama kali sejak tahun 1912.
Barnsley yang menewaskan Liverpool di Anfield pada perlawanan sebelum ini dan bermain secara bertahan apabila menerima serangan balas daripada Chelsea yang melakukan serangan bertali arus pada minit-minit terakhir perlawanan.
“Saya seronok dan tidak mempercayai kemenangan memihak kepada kami.
“Kami telah berkunjung ke Anfield sebelum ini, namun tidak ada seorangpun percaya kami akan kembali mencatat kemenangan pada aksi menentang Chelsea,” kata pengurus Barnsley, Simon Davey.
“Kejayaan menewaskan Chelsea adalah pencapaian yang luar biasa,” katanya.
Dengan kemenangan itu Barnsley berpeluang beraksi di Stadium Wembley pada pusingan separuh akhir bersama Portsmouth yang turut mara setelah menewaskan Manchester United 1-0 di Old Trafford.
Musim ini, Chelsea dilihat berada dalam keadaan terumbang-ambing lebih-lebih lagi selepas tewas kepada pasukan yang kurang ternama.
“Ia cukup mengecewakan,” kata pengurus Chelsea, Avram Grant.
Chelsea masih mempunyai peluang untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana, walaupun harapan mereka adalah Liga Juara-Juara apabila berjaya mara ke peringkat suku akhir.
“Mungkin tahun ini Piala FA bukan untuk pasukan gergasi.
“Kami masih mempunyai dua kejuaraan untuk diburu,” kata Grant.
